Ramadhan kembali
lagi, bulan untuk seluruh umat Islam bersungguh-sungguh melakukan amal ibadat
kerana ganjaran pahala yang besar dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada makhluk
ciptaanNya. Berbagai ujian, cabaran, suka duka nak tak nak harus ditempuh oleh
semua makhluk di muka bumi ini. Tiap kali bulan Ramadhan hadir, kenangan silam
bersama Abi menusuk kalbu.
Masih
segar diingatanku ketika itu bulan Sya’ban hampir meninggalkanku. Seperti
tahun-tahun sebelumnya, sudah menjadi kebiasaan diriku untuk pulang ke kampung
menghabiskan sisa-sisa bulan Sya’ban seterusnya menyambut bulan Ramadhan
bersama keluarga.
29 Sya’ban 1427H
Aku pulang ke kampungku di
Machang,Kelantan menghabiskan cuti hujung minggu. Matlamatnya tak lain tak
bukan untuk memulakan ibadat puasa bersama keluarga. Pagi tersebut amat sunyi,
Abi dan Umi tiada dirumah kerana menghadiri Kursus Haji Perdana anjuan Tabung
Haji di Kota Bharu. Aku membantu sepupuku menyiapkan kerja-kerja wiring di dapur.
Tengahari
menjelang, Abi pulang dan terus menyuruhku membeli gulai kerutuk daging untuk
dijadikan lauk makan tengahari kami sekeluarga. Aku menurut perintah, tapi sayang,
kerutuk kegemaran Abi habis, hampir seluruh kedai makan di Machang aku
bertanya, jawapannya tepat sama. “Kerutuk abih doh dik”. Nampaknya kami makan
biasa ajelah tengahari tersebut
Usai makan, Abi
memberikan 2 fail kepadaku. Aku faham, memang tugas ku jika adikku tiada.
Menyusun dan memasukkan nombor-nombor ke komputer menjadi tugasanku pada tahun
tersebut. Bila siap nombor-nombor disusun dan dikey-in maka terhasillah 1
jadual solat untuk tahun berikutnya 1428H. Abi merupakan seorang menyusun
Taqwim solat bagi Negeri Kelantan. Sejak pencen, Abi tidak berhenti dari
berdakwah dan berpesatuan. Persatuan Falak Syari’e menjadi pilihan abi sejak
bertahun-tahun lagi. Bermula dari ahli sehinggalah memegang jawatan Pengerusi
di peringkat negeri seterusnya di peringkat Kebangsaan.
Seperti tahun-tahun sebelumnya,
selepas Asar Abi bersama rombongan akan pergi meneropong anak bulan, Abi sempat
berpesan agar segera menyiapkan susunan taqwim sebab date-line sedah dekat. Aku
terus tercongok depan pc sehingga maghrib. Tugasanku berjaya ku siapkan. Terus
bersiap-siap solat maghrib dan menunggu Abi untuk solat terawih berjemaah di
rumah. Menjadi kebiasaan keluargaku solat terawih dirumah sahaja.
1 Ramadhan 1427H
Sesudah sahur, aku akan terus
tidur. Melelapkan mata menunggu Subuh. Kalau tak bangun Subuh alamatnya kain
tualalah akan hinggap di belakang. Perit tidak terkatalah. Aku menghabiskan
hari terakhir di kampungku dengan bermacam-macam aktiviti. Tidak seperti
tahun-tahun sudah. Bulan Ramadhan merupakan bulan untuk abi berada di rumah.
Membaca al-Quran menjadi rutin harian Abi. Senaskah al-Quran besar menjadi
teman Abi. Tapi sepanjang 3 hari aku dikampung, rasa sekejap saje aku bersama
beliau. Seingat aku 2 kali saje, itupun ketika Abi ada perkara yang ingin
disuruh aku membuatnya
Petang tersebut aku ke bazar
Ramadhan. Pusing-pusing mencari juadah untuk berbuka. Tahun tersebut aku tidak
berniaga seperti tahun-tahun sudah. Almaklumlah, sambung belajar setelah
bertahun-tahun aku berniaga. Abi yang kurang selesa dengan caraku menyuruh aku
menyambung pengajianku. Sayang katanya belajar sekerat jalan.
Sekurang-kurangnya ada Diploma katanya.
2 Ramadhan 1427H
Aku awal-awal lagi sudah membeli
tiket untuk ke Pulau Pinang, malas menyusahkan adikku. Di tiket tertera Bas
Transnasional. Waktu berlepas jam 9.00 pagi. Adikku Zaini menghantar ku ke
Stesen Bas di Tanah Merah. Aku menyuruh Zaini pulang sahaja. Cukup dengan
meninggalkanku di stesen bas saja.
Seperti ada yang tak kena sahaja.
Tunggu punya tunggu, jam sudah menunjukkan pukul 2 ptg, tapi bas belum lagi
muncul. Abi menelefonku, Abi ketawa bila aku menyuruh adikku mengambil aku dan
abi menyuruh aku bersabar sahaja. Tunggu saje bas sampai.
Pukul 5.30 petang baru bas
muncul, rosak katanya. Jem3x. Bas terus bertolak, aku sempat sms kepada Abi
mengatakan aku sudah bertolak ke Penang. Hari kedua puasaku aku berbuka di Batu
Melintang sempadan Kelantan-Perak. Pukul
11 malam Alhamdulillah aku sampai di Penang. Malam tersebut hatiku tak
tenang. Mungkin kepenatan, aku terus tertidur.
3 Ramadhan 1427H
Aku bersahur ala kadar aje
bersama kawan-kawan serumah. Hari tersebut aku cukup malas ke kelas. Rasa nak
sambung tidur saje, tapi memandangkan aku ada kuiz akaun aku paksa diriku juga.
Sebenarnya Aku takut Cik Aliza pensyarah modul akaunku mengamuk.
Pukul 11 pagi, aku menerima sms
dari adikku mengatakan Abi sakit. Aku terus menelefon kerumah, bercakap dengan
umi, kedengaran suara sayup-sayup Abi mengatakan beliau sakit sikit sahaja. “tak
payah balik lah” kata Abi. Talian di matikan. Entah kenapa jantungku berdenyut
kencang. Mahu diteruskan menelaah akaun-akaun tapi satu pun tak masuk.
Sebelum ke kelas aku solat Zuhur
dirumah sewaku. Aku terlelap seketika di sejadah, mendapat satu mimpi yang
menggerunkan. Aku dapati rumahku penuh dengan sanak saudara. Kulihat sekujur
mayat dipenjuru ruang tamu. Terus aku terjaga.
Kelasku pada hari tersebut
bermula jam 3.00 petang, aku ke kelas untuk menjawab kuiz akaun seperti yang
dijanjikan Cik Aliza. Jiwa ku tak tenang. Tiba-tiba telefon berdering
mengejutkan bilik kuliah, Cik Aliza merenung tajam kepada ku. Aku menjawab
panggilan dari adikku. Beliau mengatakan Abi terpaksa dibawa ke hospital. Abi
nazak. Ya Allah, bagaikan hancur hatiku, gugur jantungku mendapat berita
tersebut. Kuiz entah kemana. Otakku blur. Pandanganku gelap. Pukul 4.15 petang,
aku terus keluar dari bilik kuliah dan terus menelefon adikku. Bagaikan
halilitar memanah dadaku, Adikku mengatakan Abi kembali di jemput Allah pukul
4.00 petang tadi. Air mataku berderai dipipi.
Aku buntu, nak di ambil bas takut
lewat. Flight malam baru ada. Subhanallah.. Mujurlah kawan rumahku membantu
mencarikan kereta. Aku, Mat Yi dan Awang balik ke Kelantan menaiki kereta yang
Mat Yi pinjam. Sampai di Baling. Sepanjang perjalanan hatiku hanya dikampung.
Air mataku tidak kering-kering mengalir. Aku hanya berbuka sambil memandu. Aku sampai
di kampung hampir Isya’. Seperti dalam mimpiku, sanak saudara telah memenuhi
rumahku. Aku terus masuk ke laman rumah. Orang yang pertama memelukku dan
menyabarkanku adalah cikgu Hadi, cikgu matematik PMR ku.
Pada hari tersebut, aku merasakan
hidupku kosong. Aku boleh dikatakan rapat dengan Abi, hampir 2 tahun aku
menjadi pemandu Abi. Kemana saja Abi pergi aku drivekan. Kini Ramadhan muncul
lagi. Bezanya dulu aku ada Abi. Segarang-garang abi. Beliau adalah idola kepada
diriku. Mendidik kami 12 adik-beradik dengan berjaya. Selalu memberi dorongan
kepada ku agar jangan putus asa dan berniaga.
Pesanan abi untuk anak-anak
sebelum beliau pergi:
“Sentiasalah senang menolong orang,
InsyaAllah Allah akan senang menolong kita”
Abi adalah Haji
Ab. Rahaman bin Hussein. Pulang mengadap Yang Maha Esa pada tanggal Selasa 3
Ramdhan 1427H / 26 September 2006 jam 4.00 petang di Hospital Machang, Kelantan.
Al-Fatihah untuk Abi.