Template by:
Free Blog Templates

Tuesday, July 17, 2012

Ramadhan Terakhir Bersama Abi



Ramadhan kembali lagi, bulan untuk seluruh umat Islam bersungguh-sungguh melakukan amal ibadat kerana ganjaran pahala yang besar dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada makhluk ciptaanNya. Berbagai ujian, cabaran, suka duka nak tak nak harus ditempuh oleh semua makhluk di muka bumi ini. Tiap kali bulan Ramadhan hadir, kenangan silam bersama Abi menusuk kalbu.

                Masih segar diingatanku ketika itu bulan Sya’ban hampir meninggalkanku. Seperti tahun-tahun sebelumnya, sudah menjadi kebiasaan diriku untuk pulang ke kampung menghabiskan sisa-sisa bulan Sya’ban seterusnya menyambut bulan Ramadhan bersama keluarga.

29 Sya’ban 1427H

Aku pulang ke kampungku di Machang,Kelantan menghabiskan cuti hujung minggu. Matlamatnya tak lain tak bukan untuk memulakan ibadat puasa bersama keluarga. Pagi tersebut amat sunyi, Abi dan Umi tiada dirumah kerana menghadiri Kursus Haji Perdana anjuan Tabung Haji di Kota Bharu. Aku membantu sepupuku menyiapkan kerja-kerja wiring  di dapur.

Tengahari menjelang, Abi pulang dan terus menyuruhku membeli gulai kerutuk daging untuk dijadikan lauk makan tengahari kami sekeluarga. Aku menurut perintah, tapi sayang, kerutuk kegemaran Abi habis, hampir seluruh kedai makan di Machang aku bertanya, jawapannya tepat sama. “Kerutuk abih doh dik”. Nampaknya kami makan biasa ajelah tengahari tersebut

Usai makan, Abi memberikan 2 fail kepadaku. Aku faham, memang tugas ku jika adikku tiada. Menyusun dan memasukkan nombor-nombor ke komputer menjadi tugasanku pada tahun tersebut. Bila siap nombor-nombor disusun dan dikey-in maka terhasillah 1 jadual solat untuk tahun berikutnya 1428H. Abi merupakan seorang menyusun Taqwim solat bagi Negeri Kelantan. Sejak pencen, Abi tidak berhenti dari berdakwah dan berpesatuan. Persatuan Falak Syari’e menjadi pilihan abi sejak bertahun-tahun lagi. Bermula dari ahli sehinggalah memegang jawatan Pengerusi di peringkat negeri seterusnya di peringkat Kebangsaan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, selepas Asar Abi bersama rombongan akan pergi meneropong anak bulan, Abi sempat berpesan agar segera menyiapkan susunan taqwim sebab date-line sedah dekat. Aku terus tercongok depan pc sehingga maghrib. Tugasanku berjaya ku siapkan. Terus bersiap-siap solat maghrib dan menunggu Abi untuk solat terawih berjemaah di rumah. Menjadi kebiasaan keluargaku solat terawih dirumah sahaja.

1 Ramadhan 1427H

Sesudah sahur, aku akan terus tidur. Melelapkan mata menunggu Subuh. Kalau tak bangun Subuh alamatnya kain tualalah akan hinggap di belakang. Perit tidak terkatalah. Aku menghabiskan hari terakhir di kampungku dengan bermacam-macam aktiviti. Tidak seperti tahun-tahun sudah. Bulan Ramadhan merupakan bulan untuk abi berada di rumah. Membaca al-Quran menjadi rutin harian Abi. Senaskah al-Quran besar menjadi teman Abi. Tapi sepanjang 3 hari aku dikampung, rasa sekejap saje aku bersama beliau. Seingat aku 2 kali saje, itupun ketika Abi ada perkara yang ingin disuruh aku membuatnya

Petang tersebut aku ke bazar Ramadhan. Pusing-pusing mencari juadah untuk berbuka. Tahun tersebut aku tidak berniaga seperti tahun-tahun sudah. Almaklumlah, sambung belajar setelah bertahun-tahun aku berniaga. Abi yang kurang selesa dengan caraku menyuruh aku menyambung pengajianku. Sayang katanya belajar sekerat jalan. Sekurang-kurangnya ada Diploma katanya.

2 Ramadhan 1427H

Aku awal-awal lagi sudah membeli tiket untuk ke Pulau Pinang, malas menyusahkan adikku. Di tiket tertera Bas Transnasional. Waktu berlepas jam 9.00 pagi. Adikku Zaini menghantar ku ke Stesen Bas di Tanah Merah. Aku menyuruh Zaini pulang sahaja. Cukup dengan meninggalkanku di stesen bas saja.
Seperti ada yang tak kena sahaja. Tunggu punya tunggu, jam sudah menunjukkan pukul 2 ptg, tapi bas belum lagi muncul. Abi menelefonku, Abi ketawa bila aku menyuruh adikku mengambil aku dan abi menyuruh aku bersabar sahaja. Tunggu saje bas sampai.

Pukul 5.30 petang baru bas muncul, rosak katanya. Jem3x. Bas terus bertolak, aku sempat sms kepada Abi mengatakan aku sudah bertolak ke Penang. Hari kedua puasaku aku berbuka di Batu Melintang sempadan Kelantan-Perak. Pukul  11 malam Alhamdulillah aku sampai di Penang. Malam tersebut hatiku tak tenang. Mungkin kepenatan, aku terus tertidur.

3 Ramadhan 1427H

Aku bersahur ala kadar aje bersama kawan-kawan serumah. Hari tersebut aku cukup malas ke kelas. Rasa nak sambung tidur saje, tapi memandangkan aku ada kuiz akaun aku paksa diriku juga. Sebenarnya Aku takut Cik Aliza pensyarah modul akaunku mengamuk.

Pukul 11 pagi, aku menerima sms dari adikku mengatakan Abi sakit. Aku terus menelefon kerumah, bercakap dengan umi, kedengaran suara sayup-sayup Abi mengatakan beliau sakit sikit sahaja. “tak payah balik lah” kata Abi. Talian di matikan. Entah kenapa jantungku berdenyut kencang. Mahu diteruskan menelaah akaun-akaun tapi satu pun tak masuk.

Sebelum ke kelas aku solat Zuhur dirumah sewaku. Aku terlelap seketika di sejadah, mendapat satu mimpi yang menggerunkan. Aku dapati rumahku penuh dengan sanak saudara. Kulihat sekujur mayat dipenjuru ruang tamu. Terus aku terjaga.

Kelasku pada hari tersebut bermula jam 3.00 petang, aku ke kelas untuk menjawab kuiz akaun seperti yang dijanjikan Cik Aliza. Jiwa ku tak tenang. Tiba-tiba telefon berdering mengejutkan bilik kuliah, Cik Aliza merenung tajam kepada ku. Aku menjawab panggilan dari adikku. Beliau mengatakan Abi terpaksa dibawa ke hospital. Abi nazak. Ya Allah, bagaikan hancur hatiku, gugur jantungku mendapat berita tersebut. Kuiz entah kemana. Otakku blur. Pandanganku gelap. Pukul 4.15 petang, aku terus keluar dari bilik kuliah dan terus menelefon adikku. Bagaikan halilitar memanah dadaku, Adikku mengatakan Abi kembali di jemput Allah pukul 4.00 petang tadi. Air mataku berderai dipipi.

Aku buntu, nak di ambil bas takut lewat. Flight malam baru ada. Subhanallah.. Mujurlah kawan rumahku membantu mencarikan kereta. Aku, Mat Yi dan Awang balik ke Kelantan menaiki kereta yang Mat Yi pinjam. Sampai di Baling. Sepanjang perjalanan hatiku hanya dikampung. Air mataku tidak kering-kering mengalir.  Aku hanya berbuka sambil memandu. Aku sampai di kampung hampir Isya’. Seperti dalam mimpiku, sanak saudara telah memenuhi rumahku. Aku terus masuk ke laman rumah. Orang yang pertama memelukku dan menyabarkanku adalah cikgu Hadi, cikgu matematik PMR ku.

Pada hari tersebut, aku merasakan hidupku kosong. Aku boleh dikatakan rapat dengan Abi, hampir 2 tahun aku menjadi pemandu Abi. Kemana saja Abi pergi aku drivekan. Kini Ramadhan muncul lagi. Bezanya dulu aku ada Abi. Segarang-garang abi. Beliau adalah idola kepada diriku. Mendidik kami 12 adik-beradik dengan berjaya. Selalu memberi dorongan kepada ku agar jangan putus asa dan berniaga.

Pesanan abi untuk anak-anak sebelum beliau pergi:

                “Sentiasalah senang menolong orang, InsyaAllah Allah akan senang menolong kita”

Abi adalah Haji Ab. Rahaman bin Hussein. Pulang mengadap Yang Maha Esa pada tanggal Selasa 3 Ramdhan 1427H / 26 September 2006 jam 4.00 petang di Hospital Machang, Kelantan.

Al-Fatihah untuk Abi. 


               
               

Mengingati Guru Falak               


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails